FBI Merakamkan Dukacita atas Pemergian Dr Farok Zakaria

SELASA I 3 FEBRUARI 2026 – Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dengan penuh dukacita merakamkan pemergian Dr. Farok bin Zakaria (mantan Profesor), Pengarah pengasas Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (PBI).

Dr. Farok atau leboh mesra disapa ‘Prof’ merupakan Pengarah pertama Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, berkhidmat sejak penubuhan Universiti Malaysia Kelantan tahun 2006 sehingga 2016. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan yang amat penting dalam meletakkan asas akademik, pentadbiran dan strategik Pusat tersebut. Kepimpinan beliau yang berwawasan serta komitmen tinggi terhadap pendidikan bahasa dan pembangunan insan telah membentuk hala tuju serta identiti awal PBI. Selain itu, beliau turut memberi sumbangan yang signifikan dalam pemeliharaan dan pemerkasaan warisan budaya, khususnya di negeri Kelantan.

Asas kukuh yang dibina di bawah kepimpinan beliau telah membolehkan PBI berkembang, memperluaskan skop akademiknya, dan seterusnya dinaik taraf menjadi Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan. Kemajuan yang dicapai oleh barisan Pengarah dan Dekan selepas itu merupakan bukti kepada landasan kukuh yang telah dibentuk oleh beliau pada peringkat awal penubuhan UMK.

Selepas berkhidmat di PBI, Dr. Farok terus menyumbang kepada universiti di peringkat institusi sebagai Pengarah Pejabat Antarabangsa UMK, di mana beliau berperanan memperkukuh jaringan antarabangsa dan kerjasama global universiti. Walaupun selepas bersara daripada UMK, dedikasi beliau terhadap dunia pendidikan tidak pernah terhenti. Beliau kemudiannya berkhidmat di Universiti Prince of Songkla, Pattani sebagai Ketua Pusat Bahasa, meneruskan komitmen sepanjang hayat beliau dalam bidang pengajian bahasa, kefahaman budaya dan pembangunan akademik.

Dr. Farok telah kembali ke rahmatullah pada Februari 2026 di Hospital KPJ, Kota Bharu. Allahyarham telah disemadikan di kampung halamannya di Kampung Pangkal Meleret, Machang, Kelantan. Upacara pengebumian beliau telah dihadiri oleh warga Universiti Malaysia Kelantan yang terdiri daripada pentadbir dan ahli akademik, selain ahli keluarga dan sanak saudara, mencerminkan penghormatan dan kasih sayang yang mendalam daripada komuniti UMK terhadap beliau.

Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar, kepimpinan berterusan dan legasi berkekalan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dr. Farok bin Zakaria. Visi beliau terus menjadi panduan dalam perjalanan Fakulti, dan jasa serta sumbangan beliau akan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan dan rasa terima kasih.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.