PELAJAR FBI UMK SERLAH DALAM KEJAYAAN BERSEJARAH BUSINESS COMBAT PUM 2026

BANGI, Selangor, 2 April 2026 – Seorang pelajar daripada Fakulti Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), turut memainkan peranan penting dalam kejayaan bersejarah UMK merangkul gelaran Juara Keseluruhan Pertandingan SSM Business Combat 2026 buat kali kedua berturut-turut.

Pelajar berkenaan, Tan Sadahana Amirah binti Tan Sharifuddin, yang merupakan Pengurus Pemasaran & Jualan bagi syarikat siswa Blooming Seed, telah menunjukkan kecemerlangan dalam strategi pemasaran dan komunikasi perniagaan, sekali gus menyumbang kepada kejayaan pasukan di peringkat nasional.

Kejayaan ini turut dibimbing oleh mentor FBI, Dr. Bazilah Raihan, yang berperanan dalam memberi panduan khusus dalam aspek komunikasi, penjenamaan, dan penyampaian idea perniagaan secara berkesan sepanjang pertandingan.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi ini merupakan sebahagian daripada Program Usahawan Muda (PUM) Peringkat Kebangsaan pada 1 hingga 2 April 2026. Sebanyak 24 pasukan dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara telah bersaing dalam pertandingan anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama MAKMUM.

Pada peringkat akhir yang melibatkan tiga pasukan terbaik, Blooming Seed berjaya menambat hati juri menerusi produk inovatif ‘Boome’, iaitu produk penjagaan kulit berasaskan mikrohijau brokoli yang menggabungkan teknologi pertanian pintar dan Internet of Things (IoT). Kejayaan ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 sebagai juara, serta tambahan RM1,000 bagi kategori Booth Terbaik.

Syarikat Blooming Seed diterajui oleh lima pelajar UMK daripada pelbagai fakulti, dengan Tan Sadahana Amirah mewakili FBI sebagai tonggak utama dalam aspek pemasaran dan penjenamaan. Sumbangan beliau, bersama bimbingan mentor FBI, membuktikan bahawa pelajar FBI bukan sahaja cemerlang dalam bidang bahasa dan komunikasi, malah mampu bersaing secara kompetitif dalam bidang keusahawanan dan inovasi.

Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama UMK di peringkat nasional, di samping memperkukuh peranan pelajar dan tenaga pengajar FBI dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berimpak tinggi.